83: Bersyukur Dengan Apa Yang Ada

weheartit

Playing music: Overjoyed // Stevie Wonders
Hallo die Schikeria!

Aku terbaca semula dua coretan yang aku tulis dalam blog ini. Yang pertama, [baca sini], coretan aku bermuhasabah diri dengan amalan aku sepanjang aku hidup di atas muka bumi ini selama 20 tahun. Aku tak berapa nak ingat apa yang aku buat sepanjang hari itu yang membuatkan aku tulis sebegitu rupa. Melihatkan pada tarikh coretan tersebut, aku tulis kata-kata itu pada hujung tahun. Bila aku baca semula, tulisan itu menunjukkan perasaan sinikal dan pesimis terhadap diri aku sendiri. Aku seolah mempersendakan diri sendiri secara sinis tentang apa maknanya aku hidup dekat bumi yang indah ini. Apa benda lah yang terlintas di fikiran aku masa aku tulisakan kata-kata itu semua.

Jika aku cuba ingati semula, ketika itu aku berada dalam fasa cuba mencari identiti diri aku, cuba mencari apa maknanya kewujudan aku di muka bumi ini, dan cuba ubah hidup aku menjadi lebih baik. Aku cuba untuk keluar daripada tempurung kelapa yang telah lama aku diami, lihat dunia yang terbentang luas ini dengan kaca mata yang lebih luas. Banyak benda yang telah jadi dalam hidup aku. Hari demi hari, aku berusaha dengan sedaya upaya mungkin untuk menjadi lebih baik. Ini baru di fasa bertatih lah aku katakan.

Dua tahun kemudian, [baca sini], aku menuliskan coretan yang berbunyi seperti muhasabah diri dan mempersoalkan diri aku apa yang aku cuba capai dalam hidup ini. Coretan tersebut aku tulis pada awal tahun. Aku kurang pasti apa yang terjadi pada aku waktu itu yang membuatkan aku tuliskan kata-kata tersebut. Sekali lagi, tulisan aku dibaca dengan nada sinikal dan pesimis dengan hidup aku sendiri, cumanya ianya tidaklah seteruk seperti sebelumnya. 

Pada waktu ini, aku sudah sedikit sebanyak belajar tentang identiti aku, mula memahami serba sedikit apa maknanya aku hidup di atas muka bumi ini, dan masih lagi dalam proses mengubah hidup aku jadi lebih baik. Sudah masuk kanak-kanak tadika begitu, pada pengamatan aku. Pada waktu ini, seperti kanak-kanak tadika, aku sentiasa curiga dan penuh tanda tanya tentang pelbagai benda. Aku sentiasa rasa ingin mengetahui banyak benda dan mengembara tentang apa yang ada. Tetapi dalam masa yang sama, dalaman diri aku sentiasa bergelut untuk keluar daripada zon selesa aku. Fuh, bukan mudah ya untuk yakinkan diri sendiri yang apa yang aku buat ini untuk kebaikan diri aku juga.

Sekarang, ingin aku tuliskan tema yang sama seperti sebelumnya, muhasabah diri. Aku harap apa yang ditulis ini mungkin boleh beri sinar harapan kepada diri aku di masa hadapan, bahawa aku sekarang cuba yang terbaik untuk menjadi seorang yang boleh dibanggakan dan beri secebis kebahagiaan kepadanya.

2020, iaitu tahun yang penuh dugaan untuk semua manusia. Bagi aku, tahun ini merupakan tahun yang paling aneh pernah aku lalui sepanjang aku hidup. Terlalu banyak benda yang terjadi dalam masa setahun dan aku tak tahu macam mana untuk nak proses semua benda yang dah terjadi. Aku sekadar ingin ringkaskan apa yang aku cuba sampaikan kepada diri aku, tak nak tulis ayat terlalu meleret-leret.

Lela, kau dah banyak berubah. Jangan risau, kau berubah menjadi lebih baik seperti apa yang kau harapkan. Mungkin lebih daripada apa yang kau jangkakan. Aku cuma nak cerita, yang tahun ini macam-macam dah jadi dalam hidup kau. Aku sendiri pun agak terkesima dengan apa yang dah jadi dengan kau sepanjang tahun ini. Empat tahun lalu, kau mempersoalkan apa yang kau dah capai dengan usia kau 20 tahun pada waktu itu. Sejujurnya, tak ada apa sangat pun. Kau baru nak belajar kenal dunia, sesuaikan diri kau dengan persekitaran kau dan mencari identiti diri kau. Sekarang, lensa mata kau dapat lihat dunia dengan lebih teliti dan mendalam. Jika dibawa berjumpa kau pada empat tahun lepas dengan sekarang, barangkali dia juga terkesima dengan apa yang dilihatnya.

Dua tahun lepas, kau masih bertanyakan benda yang sama, ditambah dengan sedikit rasa kekesalan dengan pencapaian kau pada waktu itu. Aku faham, pada masa itu kau mengharapkan perubahan hidup kau menuju kepada satu pencapaian yang jelas menunjukkan hidup kau berjalan ke arah lebih baik. Sayangnya, realiti kehidupan tidak seperti itu. Ianya satu perjalanan yang sangat perlahan dan sebaiknya kau ikutkan saja ke mana hidup kau bawa. Kau tak perlu terlalu gusar dengan hasil terakhir hidup kau, sebaiknya kau nikmati setiap saat dengan lebih bermakna dan lebih menghargai apa yang ada dalam genggaman kau. Percayalah, itu lebih tenang. Kau cuba lekatkan pernyataan tadi di dalam kepala dan cuba untuk percaya dengan kehidupan kau. Sekarang, aku ingin ceritakan kisah diri kau yang sekarang. 

Kini, kau belajar dan memahami apa ertinya menghargai apa yang kau ada dalam hidup. Kau ada keluarga yang penyayang, kawan-kawan yang baik belaka, kau berada dalam persekitaran yang galakkan perubahan yang positif dalam diri kau. Kau sedang mengejar impian hidup kau yang selama-lama hari ini kau letakkan ke tepi. Kau dipertemukan dengan seseorang yang melengkapi diri kau dan menerima kau seadanya. Jika jodoh panjang, mungkin kau dan dia akan bersatu untuk hidup bahagia berdua selamanya. Apa yang kau ada sekarang ini sebenarnya lebih daripada apa yang kau bayangkan sebelum ini kan? Itu tandanya kau memang berubah. Daripada seorang yang pesimis, sinikal dan terlalu negatif dengan segala-galanya, kepada seorang yang lebih optimis dan positif. 

Tak dinafikan, benda ini ada pasang surutnya akan tetapi kau belajar untuk laluinya dengan lebih tenang dan ikutkan saja aliran hidup ini cuba bawa kau pergi. Aku tahu, kau sangat bersyukur dengan apa yang kau ada dan kau cuba nikmati setiap detik hidup kau dengan lebih bermakna. Baguslah jika kau berfikir sebegitu dan teruskan dengan semangat itu.

0 Comments